Tanah Merdeka, The Land of The Free
'Negaraku, tanah tumpahnya darahku.'Baris pertama lagu kebangsaan kita melambangkan betapa cintanya rakyat dan penghuni terhadap negara ini. Warganegara pencinta Malaysia inilah yang mendirikan Malaysia kita. Tapi apakah bentuk Malaysia yang didirikan? Apakah erti Malaysia sebenarnya?
Malaysia bukannya turus bertiga angkatan tentera, bukannya Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Malaysia bukannya sempadan antarabangsa, pelabuhan serta lapangan terbang.
Pada asasnya, Malaysia terdiri daripada rakyat jelata. Bangsa Malaysia yang berbilang keturunan inilah Malaysia sejati.
Persahabatan dan persefahaman antara Si Mamat, Si Ah Kau dan Si Doraisamy di serata tanahair kita ini merupakan teras perpaduan negara. Walaupun berpunca tiga keturunan yang lain, rakyat Malaysia bersatu padu menyumbangkan tenaga ke arah kemajuan negara dan bangsa. Rakyatlah Malaysia, Malaysialah rakyat.
Merdekanya negara kita pada 31 Ogos 1957 juga melahirkan bangsa kita. Kita sebagai Bangsa Malaysia bersama-sama merasai suka dan duka selama empat puluh lapan tahun semenjak Zaman Merdeka.
Kini, pencapaian kita diakui di serata dunia. Selain bilangan besar warganegara kita yang membanting tulang mendirikan negara serta memajukan bangsa, terdapat juga segelintir yang mengharumkan nama negara kita di rantau asing.
Hari ini kita merayakan pencapaian Bangsa Malaysia di seluruh pelusuk rantau, dari zaman silam sehingga ke hari ini.
Syabas Malaysia, Bangsa Merdeka!
0 Comments:
Post a Comment
<< Home