31 August 2005

Bangsa Jiwa Bahasa? Hidup bahasa hidup!

Sejak beberapa hari yang lalu, sebilangan kecil artis blog telah menyatakan tujuan mereka untuk berblog dalam Bahasa Melayu. Sebagai anak Malaysia sejati, saya menyokong kuat azam mereka.

Akan tetapi, semasa saya melayari laman blog mereka, kelihatan pula suatu yang aneh. Sebilangan penyumbang komen bimbang sama ada mereka masih fasih berbahasa Melayu, manakala seorang dua lagi mengaku sudah lupa akan Bahasa Melayu yang dipelajari hingga ke tahap SPM.

Bahasa Jiwa Bangsa. Bahasa Melayu bahasa yang mulia, setaraf dengan bahasa-bahasa lain di seluruh dunia. Walaupun sejarahnya begitu panjang, termasuklah peranannya sebagai bahasa niaga (lingua franca) sedunia dalam kurun kelimabelas, Bahasa Melayu semakin kurang digunakan.

Walaupun Bahasa Inggeris merupakan lingua franca terkini, seterusnya menjadi bahasa urusniaga dan perdagangan kita, Bahasa Melayulah yang paling berupaya menyatukan rakyat, yakni bahasa sebagai jiwa bangsa. Jikalau diambil Negara Cina ataupun India sebagai contoh, nyatalah negara-negara ini kuat berniaga. Lantas, ramai juga rakyatnya mempelajari dan fasih bertutur Bahasa Inggeris. Namun, kedua-dua negara tersebut mempunyai bahasa kebangsaan sendiri.

Selain menyatupadukan bangsa, bahasa kebangsaan memudahkan pentadbiran di peringkat kebangsaaan, tidak kira pentadbiran kerajaan ataupun syarikat-syarikat swasta. Dengan adanya Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita, segala arahan dan perintah serta laporan dan akuan mudah difahami, tanpa mengira tempat asalnya. Bahasa Melayu inilah yang dimaksudkan rakan bloggers perisau itu.

Akan tetapi, istilah bahasa merangkumi loghat dan pelat selain daripada bahasa kebangsaan. Adapun pihak yang mengatakan loghat-loghat Indonesia dan sesetengah loghat-loghat Filipina termasuk dalam Bahasa Melayu juga.

Tidak seperti Bahasa Melayu rasmi yang perlu kekal abadi sebagai bahasa pengantara, loghat-loghat kita sentiasa berubah. Loghat-loghat inilah yang digelar ‘the living language,’ ataupun bahasa hidup. Yakni, bahasa sentiasa berubah dan membesar seakan-akan makhluk yang hidup.

‘The living language,’ kerapkali diubah perbendaharaan kata dan tatabahasanya. Akibat daripada perubahan ini bentuk, rupa serta cara bertutur Bahasa Melayu di setiap negeri, setiap kampung berlainan antara satu dengan yang lain.

Saya berharap agar ‘the living language of Bahasa Melayu,’ yang dijadikan asas blog Melayu kita semua pada Hari Merdeka ini.